Sujud Syukur bermaksud sujud apabila mendapat sesuatu nikmat, sesuatu yang kita hajati, mencapai kejayaan atau terhindar daripada bencana, maka sewajarnyalah kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t.
Contohnya, dikurniakan zuriat setelah bertahun-tahun mengimpikannya, berita kejayaan anak-anak atau orang tersayang, malah apa sahaja yang dikira berita gembira dan baik. Sujud ini juga dilakukan atas sebab terhindar daripada musibah, bahaya atau malapetaka.
Contohnya, berlaku kebakaran besar di kawasan tempat tinggal kita, namun nyawa ahli keluarga kita terselamat walaupun waktu itu kita mengalami kerugian besar akibat kehilangan harta benda. Hakikatnya, nilai nyawa itu tiada taruhan.
Daripada Abu Bakrah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. apabila menerima suatu perkara yang menyenangkan atau diberi khabar gembira, segera baginda menunduk sujud sebagai tanda syukur kepada Allah Taala. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).
Sebuah lagi hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari bahasa Ali bin Abi Talib menulis surat kepada Rasulullah s.a.w. untuk memberitahu mengenai suku Hamzan yang memeluk Islam. Baginda terus tunduk bersujud, kemudian mengangkat semula kepalanya dan bersabda : ``Selamat sejahtera ke atas suku Hamzan, selamat sejahtera ke atas suku Hamzan.''
Melakukan Sujud Syukur ada yang mengatakan harus memenuhi syarat-syarat solat, tetapi yang sebenarnya ia tidak memerlukan syarat-syarat sebagaimana syarat solat.
Ini berpandukan kepada Imam Shaukani yang berkata: ``Dalam Sujud Syukur tidak terdapat sebuah hadis pun yang menjelaskan bahawa untuk melakukannya disyaratkan berwuduk, suci pakaian atau tempat sujudnya.''
Juga tidak terdapat keterangan daripada Baginda Rasulullah s.a.w. bahawa dalam Sujud Syukur harus bertakbir atau mengadap kiblat.
Hanya di dalam kitab Al-Bahr disebut, takbir dalam Sujud Syukur diperlukan,'' terang beliau.
Seperkara lagi tentang Sujud Syukur ialah ia tidak boleh dikerjakan di dalam solat dan tiada bacaan khusus ketika sujud.