KUALA LUMPUR: Peminjam wang daripada ceti haram atau along yang gagal membayar hutang dipinjam bakal menghadapi risiko malu apabila nama dan wajah mereka akan dipaparkan di media terutama di beberapa siaran stesen televisyen tanah air.
Ia dianggap sebagai langkah pengajaran berikutan tindakan mereka itu memberi kesan buruk kepada ahli keluarga yang tidak berdosa apabila menerima pelbagai ugutan berterusan daripada along.
Bagaimanapun, perkara itu bergantung sepenuhnya kepada mangsa sama ada mahu membenarkan nama dan gambar peminjam didedahkan atau sebaliknya.
Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Michael Chong (gambar), berkata pihaknya sudah menjalankan sesi temuramah dengan beberapa stesen televisyen tempatan termasuk dari luar negara bagi membincangkan permasalahan along.
“Saya tidak menafikan peranan media sama ada cetak atau elektronik amat penting untuk menimbulkan kesedaran kepada orang awam mengenai isu along terutama yang membabitkan keganasan.
“Selain pengajaran, langkah seumpama ini (pendedahan nama dan gambar) dianggap sebagai amaran kepada segelintir peminjam yang enggan membayar hutang sehingga menyebabkan keluarga mereka menjadi mangsa along.
“Mangsa juga akan mendedahkan permasalahan dan penderitaan hidup mereka menghadapi pelbagai jenis ugutan yang dilakukan secara berterusan oleh along,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Menurut Chong yang juga Penasihat dan Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, langkah itu sekali gus menunjukkan tanda sokongan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mahu memerangi along habis-habisan.
“Bagi mencapai matlamat itu, kerjasama erat antara KDN, pihak berkuasa dan media amat perlu sekali gus membantu membanteras golongan berkenaan (along) yang dianggap semakin mengganas.
“Perkara itu dianggap serius apabila menteri (Hishammuddin) turut turun padang untuk menemui beberapa mangsa along terutama keluarga peminjam yang tidak bersalah di sekitar ibu negara, baru-baru ini,” katanya.
Chong berkata, sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, pihaknya menerima sebanyak 321 kes membabitkan along dan rata-rata mangsa meminjam wang untuk berjudi.
“Namun, saya percaya jumlah kes untuk enam bulan seterusnya selepas ini akan berkurangan berbanding statistik tahun sebelumnya berikutan liputan media yang meluas berhubung isu terbabit,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090706071353/Article/index_html