PEKAN: “Saya sangka tangisan itu anak hantu, rupa-rupanya bayi masih berbalut dengan kain lampin dan digigit ribuan semut,” kata Nur Ainna Syaqina Reduwan, 16, yang menemui bayi lelaki seberat 3.05 kilogram di perhentian bas Taman Pelangkah, dekat sini, pagi semalam.
Nur Ainna ketika ditemui di rumahnya di Taman Pelangkah, dekat sini, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu dia sedang menunggu bas untuk ke sekolah.
“Jantung saya berdegup kencang melihat bungkusan putih berkenaan dan menguatkan semangat untuk melihatnya secara dekat.
“Saya pada mulanya memang sangka anak hantu kerana terpengaruh dengan dakwaan rakan kawasan perhentian bas itu berhantu.
“Namun, apabila mengetahui ia bayi yang ditinggalkan barulah saya lega dan terus meminta jiran menghantarnya ke Hospital Pekan (HP),” kata anak kedua daripada tujuh beradik itu.
Nur Ainna kemudian membuat laporan berhubung penemuan bayi itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan selepas memaklumkan kepada ibunya, Rosilawati Abdul Razak, 35.
Menurutnya, dia sedih melihat semut menggigit tubuh bayi berkenaan dan kesal kerana ada insan yang tergamak membuangnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Amran Sidek, ketika ditemui mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi berkenaan.
Menurutnya, bayi lelaki itu masih menerima rawatan lanjut di HP sebelum dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuantan untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, polis tidak akan menutup fail kes terbabit dan akan terus memburu suspek yang bertanggungjawab dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001
[img]
[/img]